August 20, 2010

Himpunan mudah disuai padan

Rekaan Najjah dihasilkan dengan mengambil kira ciri-ciri sebenar busana Muslimah selain praktikal digayakan.

SERING kali wanita mudah bosan dengan pakaian sedia ada dalam gerobok mereka. Ramai wanita inginkan kelainan dalam penampilan setiap hari.

Ada yang gemar membeli pakaian baru dan ada pula menyuai padan himpunan yang ada.

Bagi wanita Muslimah, himpunan yang mudah disuai padan jarang diperoleh disebabkan tidak banyak butik menyediakannya.

Menyedari keinginan wanita yang ingin tampil berbeza dalam setiap acara, mendorong personaliti TV9, Farah Adeeba Mohamed Ashraf menghasilkan himpunan Najjah yang dijual menerusi dalam talian www.najjah.com manakala Butik Najjah akan dibuka Ogos ini di Kota Damansara.

Najjah benar-benar memenuhi kehendak wanita Muslimah yang inginkan gaya menutup aurat sepenuhnya. Pakaian disediakan berukuran besar, labuh dan tidak jarang.

"Saya sendiri sukar memilih pakaian menepati ciri wanita Muslimah. Sebab itu saya tampil dengan himpunan pakaian seperti jubah, gaun dan kardigan labuh, baju kurung, blaus, seluar palazo, tudung serta perhiasan yang boleh disuai padan," katanya yang sepakat membuka butik bersama seorang rakan selepas menyedari permintaan pelanggan.

Menurut Farah Adeeba, himpunan Najjah boleh disuai padan mengikut kehendak sendiri. Misalnya, blaus boleh dipakai bersama kain, seluar atau skirt labuh.

Baju kurung pula boleh dipakai bersama seluar denim kemudian dihias tali pinggang.

"Dengan cara ini pelanggan hanya perlu membeli pakaian asas yang ada di Najjah kemudian boleh disuai padan dengan pakaian sedia ada atau boleh juga mendapatkan pakaian terkini di Najjah yang pastinya sesuai untuk semua gaya," katanya.

Melihat warna pakaian, Farah Adeeba mahu menyerlahkan sesuatu yang jarang dijual di pasaran. Warna terang serta gabungan rona kontras menjadi pilihannya selain warna pastel lembut seperti hitam, putih, coklat atau kelabu.

Ini kerana warna ini sudah terlalu biasa dan sering menjadi tema berpakaian.

"Saya meminati warna lembut manakala rakan saya memilih warna terang. Jadi idea ini digabungkan dan digarap pada pakaian.

"Pasti nampak lebih moden dan versatil apabila wanita berani mengenakan gabungan pakaian merah jambu dan hijau terang," katanya.

Bagi penggemar tudung, mereka boleh memilih pelbagai rekaan dan corak tudung sama ada selendang, tudung Syria atau tudung siap dengan jahitan labuci dan manik. Kebanyakan tudung menggunakan fabrik lycra kerana lembut dan tidak panas.

"Istimewanya tudung Najjah kerana lain daripada lain. Kami menggunakan warna yang jarang dijual di pasaran. Lebih menarik apabila tudung dijahit labuci serta manik menjadikan rekaan lebih eksklusif," katanya.

Farah Adeeba sangat mementingkan kualiti serta keselesaan pelanggan justeru, fabrik serta rekaan sangat dititikberatkan.
Antara koleksi Najjah:-

ANGGUN...untuk yang berani, tampil anggun dengan gaun labuh dipadankan selendang Syria
HITAM MENAWAN... blaus hitam labuh dipadankan seluar palazo putih

SANTAI...rona merah jambu untuk tudung dan blaus dipadankan seluar hitam kembang
BAJU KURUNG... warna terang tampil menawan. Baju kurung merah jambu polos dipadankan selendang hijau
Bersesuaian dengan keadaan cuaca yang panas dan lembap, pemilihan kain kapas kemeja-T serta lycra menjadi pilihan. Untuk himpunan kasual, ia dijual pada harga RM100 ke bawah manakala himpunan eksklusif di bawah RM500.

http://www.najjah.com/ (012-2132786/013-7702739).

Source : Harian Metro
By : Siti Zarinah Sahib
16 Jul 2010
Edited by Jumperjoy


--------------------------------------------------------------------------------
Previous Page

No comments:

Post a Comment