August 20, 2010

Litup Bergaya

Koleksi terkini Nuur INNAI khusus untuk Muslimah moden

KEMBARA perjalanan mampu memberikan seribu satu ilham kepada individu yang sentiasa berdaya kreatif. Justeru, tidak hairan pereka muda, Izrin Ismail mengabadikan catatan perjalanannya ke negara Asia Barat dalam sentuhan baru koleksi rekaannya.

Koleksi terkini, Nuur INNAI yang ditampilkan dan dikenali, Nomad Princess bukan saja menambat hati tetapi turut memperlihatkan luahan jiwanya terhadap kecantikan serta keanggunan wanita dalam pakaian berlitup.

Pengalaman perjalanan di Asia Barat membuatkan pengasas label yang juga Pengarah Urusan Innai itu tertarik dengan Abaya yang dipakai wanita di sana. Bagi penggemar fesyen busana Muslimah, koleksi baru yang ada kelainan dalam bergaya berlitup itu barangkali diminati kerana ada elemen keindahan, keistimewaan dan tarikan tersendiri dalam rekaan diketengahkan.

Nuur INNAI didatangkan khusus untuk wanita moden Muslim yang cintakan fesyen, tampak cantik dan mengidamkan cara pemakaian pakaian meniti gaya chic tanpa terlalu mendedahkan aurat atau menunjukkan potongan susuk tubuhnya.


Pilihan bergaya dalam Nomad Princess memaparkan busana labuh dalam fabrik selesa jersi, linen dan kain kapas yang dijadikan lapisan pada bahagian dalam, manakala keindahan luar busana itu diperhebatkan dengan jaket broket.

Selain itu, adat jumsut sutera dan celana jersi harem yang membangkitkan gaya rekaan misteri serta daya penarik eksotik bagi Asia Barat. Celana itu didatangkan dalam material lembut dan dijahit kemas bagi memperlihatkan bentuk tubuh serta dipadankan dengan sempurna bersama kot atau jaket yang berpotongan bagi memperlihatkan keanggunan si pemakai.

Keistimewaan koleksi rangkaian itu boleh disimpulkan dengan tiga perkataan - baru, khusus dan klasik. Ketiga-tiga itu menyatakan asas gaya yang diberikan sentuhan kontemporari seperti lapisan, tekstur dan mudah pada cetak etnik serta bermain antara batas terhadap pakaian Islam.

Apa yang pasti, koleksi baru itu mengutamakan pengembara wanita Muslim canggih mengambil berat terhadap fesyen dan pada masa yang sama sentiasa mengutamakan etika pakaian seorang Islam. Dalam erti kata lain, wanita itu sentiasa tampak cantik sebelum setiap mata orang lain memandang dan yang lebih penting, tampil sempurna dan memenuhi tuntutan agama.

Koleksi itu berharga dari RM600 bagi blaus, RM1,000 untuk jumpsut dan RM2,000 bagi jaket broket. Semua koleksi berkenaan hanya boleh didapati di butik Nuur INNAI.

INFO Butik INNAI

Lokasi: Sri Hartamas, G-0-12, Plaza Damas, Jalan Sri Hartamas 1, Kuala Lumpur.
Nombor telefon: 03-62031955
Lokasi kedua: Lot 7, Ground Floor, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Nombor telefon: 03-42603184

Source : Berita Harian
By : Nor Affizar Ibrahim
30 Jul 2010
Edited by Jumperjoy

No comments:

Post a Comment