August 20, 2010

Bertudung Ala Arab










FESYEN wanita bertudung berubah seiring dengan masa. Saban hari, butik-butik Muslimah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Masing-masing berlumba-lumba menampilkan konsep fesyen terkini dan moden tanpa menjejaskan penampilan yang sopan.
Trend tudung juga menawarkan kepelbagaian rekaan dan corak mengikut cita rasa wanita moden dan remaja yang gemarkan gaya ringkas dan funky.

"Sebelum ini wanita Malaysia lebih cenderung mengikut trend fesyen bertudung dari Indonesia yang menggunakan banyak lapisan tudung dan teknik lilitan yang sarat. Hari ini, mereka beralih pada konsep baru.

GAYA solekan dan fesyen wanita Arab cenderung menggunakan warna terang.

"Situasi ini dapat dilihat khususnya di kalangan golongan remaja yang mula mencari konsep pakaian dan padanan tudung yang ringkas tetapi tampak ranggi dan stailo. Justeru aliran fesyen wanita Iran dan Turki merupakan pilihan yang paling sesuai dan tepat," jelas pemilik Butik Feenaz, Ida Shafinaz Nazri, 27, yang memperkenalkan variasi busana dan kerudung stail wanita Timur Tengah.

Gaya wanita Iran tidak keterlaluan dan seiring dengan peredaran fesyen yang semakin moden dan trendy. Fesyen tersebut bukan sahaja sesuai digayakan ke pejabat, malah sesuai untuk gaya kasual, santai atau menghadiri kuliah.

Wanita Arab gemar menggayakan jaket labuh (trench coat) paras lutut yang memiliki taburan butang di bahagian depan baju. Begitu juga konsep jaket mengikut potongan badan dan menampilkan poket di kiri dan kanan.

KOLEKSI selendang Turki yang boleh didapati di butik Feenaz PKNS, Shah Alam.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan penampilan mereka sentiasa kelihatan segar dan ceria bahagian kepala diberi tumpuan. Lazimnya, mereka akan padankan dengan tudung bercorak abstrak, motif flora atau warna terang.

Selendang panjang dan skaf segi empat sama paling diminati oleh wanita Arab. Memandangkan koleksi pakaian berkonsepkan polos, maka tudung bercorak adalah salah satu cara menyerikan penampilan selain memakai aksesori nuansa terang.

Kunci utama fesyen ini adalah terletak pada cara pemakaian tudung. Sebelum memakai selendang atau skaf pastikan rambut disisir ke belakang dan diikat supaya dijadikan sanggul tinggi.

Dandanan sanggul tinggi mampu membuatkan bentuk muka kelihatan bujur dan kecil. Inilah gaya yang dipraktikkan oleh wanita Arab.

Hakikatnya fesyen tudung wanita Arab lebih ringkas berbanding pemakaian tudung wanita tempatan. Biasanya mereka hanya menggunakan sebiji kerongsang untuk disematkan di bahagian leher supaya tudung tidak tertanggal.

Selebihnya lilitan tudung di bahagian belakang hanya dikemaskan dengan jarum peniti bagi mengelakkan posisi tudung berubah.
Dari segi pemilihan anak tudung pula, wanita boleh memilih serkup jenis nipis, berwarna mengikut kesesuaian baju atau anak tudung pasang siap. Wanita Arab juga kini tidak lagi tertumpu pada busana warna gelap dan suram.
Feenaz Butik beroperasi di Kompleks PKNS Shah alam dan Presint 2, Putrajaya.

Source : Kosmo
Edited by Jumperjoy

No comments:

Post a Comment