August 20, 2010

Lengan Kembang Payung


Rekaan inovasi busana Muslimah daripada butik Sentuhan Jelita untuk Aidilfitri

Selain kesedaran dan kefahaman terhadap suruhan agama, industri fesyen Muslimah yang semakin meriah juga dikatakan menjadi pendorong utama untuk mereka beralih kepada gaya sopan.

Sehingga kini, pakaian gaya Muslimah mempunyai pengikut tersendiri sehingga mendorong penggiat fesyen untuk lebih aktif menghasilkan persalinan Muslimah selari aliran fesyen semasa.

Tiada lagi kurung longgar atau jubah labuh tanpa potongan kerana pentas gaya Muslimah kini dilihat semakin ceria dan penuh gaya.

Pemilik Butik Sentuhan Jelita, Fendi Osman, berkata Islam tidak pernah melarang umatnya bergaya asalkan ia masih dilakukan mengikut lunas yang ditetapkan agama.

"Di Sentuhan Jelita sendiri, kami sememangnya menjaga setiap produk yang dikeluarkan demi menjaga nama baik agama dan memelihara wanita Islam supaya berpakaian sopan menutup aurat.

"Justeru, walaupun rekaan yang dihasilkan tampak moden, jika diteliti, ia tetap menjaga penampilan Muslimah supaya kelihatan manis dan sopan," katanya.

Bersesuaian dengan kredibiliti jenama ini yang sudah bertapak sejak empat tahun lalu, Fendi mengakui inovasi pereka memainkan peranan penting di dalam menghasilkan busana Muslimah yang menawan.

"Terbaru adalah koleksi Aidilfitri daripada Sentuhan Jelita yang banyak mengetengahkan helaian jubah seluar dan jubah moden dengan perincian manik unik untuk digayakan pada pagi lebaran.

"Bukan hendak menafikan keindahan pakaian tradisi, tapi kami ingin mempelbagaikan fesyen Muslimah supaya kelihatan lebih stailo dan terkini," katanya.

Perincian digunakan diperbuat daripada manik Jepun dan juga tatahan kristal Swaroski yang tidak terlalu sarat pada material seperti sifon, lycra dan fabrik bercorak flora.

Sentuhan Jelita juga banyak bermain dengan inovasi pada bahagian lengan jubah dan pastinya lengan belon (puff) dan cekak (cuff) masih menjadi taruhan.

"Jubah moden dengan lengan kembang payung juga diramalkan menjadi rebutan ramai kerana gaya dramatik membuatkan ia kelihatan menawan," katanya.

Fendi berkata, menariknya di dalam koleksi jubah terbaru itu, pelanggan juga berpeluang memiliki rekaan jubah digelar Jubah Datuk Siti diperbuat daripada sifon dengan potongan garis empayar (empire line).

"Memandangkan saingan fesyen Muslimah amat sengit ketika ini, kami menukar gaya fesyen di butik setiap minggu. Selain bertujuan untuk menarik kedatangan pengunjung melalui penggayaan fesyen yang pelbagai, butik kami juga turut melakukan diskaun antara 10 hingga 50 peratus bagi barangan terpilih setiap bulan," katanya.

INFO
Butik Sentuhan Jelita
* Lokasi: No 3F-20, Tingkat 3, SACC Mall Shah Alam.
* Koleksi Aidilfitri Sentuhan Jelita boleh didapati pada harga antara RM98 hingga RM299 mulai penghujung Julai ini.
* Telefon: 03-551 24406 - Puan Junaidah



Source : Berita Harian
By : Siti Nur Almizan Aripin
16 Jul 2010
Edited by Jumperjoy

No comments:

Post a Comment